PETALING JAYA: Kadar pengangguran negara kekal rendah pada 2.9 peratus pada September 2026, dengan jumlah penganggur meningkat sedikit kepada 513,200 orang berbanding 511,600 orang pada Ogos.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan itu berlaku ketika pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan stabil susulan prospek ekonomi yang positif.

“Dalam tempoh sama, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.1 peratus kepada 16.89 juta orang berbanding 16.87 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Bagaimanapun, bilangan penduduk di luar tenaga buruh mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.03 peratus kepada 7.10 juta orang berbanding 7.11 juta orang pada Ogos,” katanya dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh, September dan Suku Tahun Ketiga 2026.