PETALING JAYA – Selaras dengan matlamat untuk memperluas keterangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat, Agrobank baru-baru ini mendekati komuniti Orang Asli di Kampung Peta, Endau, Mersing menerusi program CSR yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan kewangan, perlindungan takaful dan sokongan pendidikan.

Kampung Peta merupakan perkampungan Orang Asli Jakun yang dihuni kira-kira 370 penduduk daripada 126 keluarga. Kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar menjadikan akses kepada perkhidmatan kewangan formal satu cabaran bagi komuniti setempat.

Bagi membantu menangani cabaran ini, Agrobank menyediakan bimbingan pengurusan kewangan dan penggunaan perkhidmatan digital, selain kemudahan pembukaan akaun tanpa memerlukan penduduk hadir ke cawangan.