KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memaklumkan Datuk Seri Najib Tun Razak berasa lega selepas Mahkamah Tinggi memutuskan beliau menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini secara serta merta.

Peguam, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah berkata perintah yang dikeluarkan mahkamah hari ini adalah satu keputusan yang dinantikan.

​”Ia satu kelegaan muktamad yang besar bagi beliau. Saya fikir beliau layak mendapat perintah ini kerana telah melepasi lebih 50 peratus tempoh pemenjaraan,” kata peguam itu selepas prosiding hari ini.

​Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perintah tahanan rumah ini masih berstatus pemenjaraan di bawah undang-undang.