KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Selasa dengan indeks petunjuk pasaran mengakhiri dagangan sedikit melepasi paras psikologi 1,600 mata berikutan tekanan jualan terhadap saham berwajaran tinggi sektor perbankan dan berkaitan pusat data yang menjejaskan sentimen pasaran.

Pada jam 5 petang, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 12.51 mata atau 0.77 peratus kepada 1,604.07 mata berbanding paras penutup Jumaat lalu pada 1,616.58 mata.

Indeks penanda aras itu dibuka 9.97 mata lebih tinggi kepada 1,626.55 mata sebelum bergerak antara paras terendah harian 1,595.26 mata dan tertinggi 1,626.55 mata sepanjang dagangan.

Sentimen pasaran secara keseluruhan negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 746 berbanding 395, manakala 463 kaunter tidak berubah, 1,169 tidak diniagakan dan 12 digantung dagangan.