Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan mahkamah hari ini, turut mengarahkan 'Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda' bertarikh 6 November lalu dibatalkan dan digantikan dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
"KDN sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
"Setiap keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan hendaklah dihormati dan dilaksanakan menurut undang-undang," katanya dalam kenyataan, hari ini.









