KUALA LUMPUR: Kegagalan Peguam Negara menyediakan mekanisme pelaksanaan pengampunan bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak awal dikenal pasti punca utama kekeliruan berhubung pelaksanaan baki hukuman penjara di rumah.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata Peguam Negara sepatutnya mengambil langkah awal menyediakan dokumen dan mekanisme berkaitan sebaik mengetahui keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah selepas melunaskan denda RM50 juta.
Katanya, tanggungjawab itu sepatutnya dipikul Peguam Negara kerana beliau bukan sahaja penasihat undang-undang utama kerajaan, tetapi juga menganggotai Lembaga Pengampunan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.







