KUALA LUMPUR: Buku pesanan belum dibil Jati Tinggi Group Bhd meningkat kepada RM1.43 bilion selepas kumpulan itu memperoleh kontrak infrastruktur bekalan kuasa pusat data bernilai RM33.1 juta di Negeri Sembilan.
Kontrak itu diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd, bagi melaksanakan kerja infrastruktur bekalan kuasa pukal berkapasiti 275 kilovolt untuk pembangunan pusat data.
Jati Tinggi dalam satu kenyataan berkata, skop kontrak merangkumi pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan dua litar kabel kuasa 275 kilovolt yang menghubungkan kawasan peralihan dengan pencawang pusat data.
Skop kerja turut meliputi pembinaan kawasan peralihan, sambungan cabang kepada talian penghantaran atas serta pengubahsuaian sistem sekunder berkaitan. Projek berkenaan dijangka disiapkan dalam tempoh sembilan bulan.










