KUALA LUMPUR: Zetrix AI Bhd mengesahkan pembayaran bagi Sukuk Wakalah Siri No. 6 bernilai RM25 juta yang matang pada 6 November masih belum dilunaskan setakat hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan pihaknya sedang mengambil langkah sewajarnya bagi melunaskan jumlah tertunggak kepada pemegang sukuk secepat mungkin.

"Bagi mengelakkan sebarang keraguan, bayaran tertunggak bagi nilai nominal dan jumlah agihan berkala yang dijangka berhubung Sukuk Wakalah Siri No. 6 mewakili kurang daripada lima peratus daripada aset bersih Zetrix AI berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini syarikat," jelasnya.

Zetrix AI memberitahu pihaknya akan membuat pengumuman selanjutnya mengenai sebarang perkembangan penting berkaitan perkara berkenaan, jika perlu.