KUALA LUMPUR: Hup Seng Industries Bhd (Hup Seng) mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 9.33 peratus bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 2026 kepada RM14.03 juta berbanding RM15.47 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu berikutan permintaan domestik terhadap biskut yang lebih lemah dan penurunan jualan eksport dalam suku dikaji.
Hasil bagi suku berkenaan susut 6.62 peratus kepada RM98.7 juta berbanding RM105.7 juta pada suku sama tahun kewangan 2025, menurut makluman pengeluar biskut itu kepada Bursa Malaysia hari ini.
Lembaga pengarah mengesyorkan pembayaran dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan setakat ini bagi tahun kewangan semasa sebanyak empat sen sesaham.









