KUALA LUMPUR: Anak syarikat tidak langsung Cropmate Bhd, Cropmate Fertilizer Bintulu Sdn Bhd (CFBSB), akan membeli sebidang tanah industri kosong di Bintulu, Sarawak, pada harga RM12 juta.

CFBSB memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Dominant Potential Sdn Bhd bagi pembelian tanah seluas kira-kira 1.6 hektar itu.

Cropmate berkata, tanah berkenaan akan digunakan untuk membina kilang baja dan tempat simpanan produk selepas urus niaga selesai.

"CFBSB mahu menggunakan tanah itu sebagai kilang bajanya untuk formulasi serta pengadunan baja konvensional dan khusus, selain menjadi tempat menyimpan produk baja lurus serta stok berkaitan," katanya.