GEORGE TOWN: Gabungan kepakaran perubatan dan disiplin kejuruteraan menjadi asas kepada perkembangan Mega Klinik Prima daripada sebuah klinik sederhana di satu tingkat kepada pusat rawatan yang beroperasi di premis tiga tingkat.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, perniagaan di bawah ZS Bestari Sdn Bhd itu diasaskan oleh Mohamad Syazwan Mohamed Zafarulla dan Dr Nur Zawani Mohamed Razali menerusi Klinik Perubatan Tanah Melayu (Georgetown) pada Oktober 2023 sebelum menggunakan identiti Mega Klinik Prima.

"Klinik menawarkan rawatan pesakit luar, penjagaan kesihatan wanita dan ibu mengandung, pemeriksaan pencegahan, vaksinasi, kesihatan lelaki, kesihatan pekerjaan serta pemeriksaan perubatan.

"Kemudahan ultrabunyi, ujian kiraan darah penuh dan sinar-X turut disediakan bagi membolehkan lebih banyak pemeriksaan diagnostik dijalankan di satu lokasi. Klinik beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 9 malam," katanya.