BANDAR BAHARU – Sebanyak 18 buah rumah di enam kampung dalam daerah ini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan berterusan melebihi dua jam sejak petang tadi.

Kawasan terjejas melibatkan empat buah rumah di Mukim Serdang iaitu Kampung Sungai Punti dan Kampung Batu 16 Lombong A, manakala 14 buah rumah lagi di Mukim Relau membabitkan Kampung Paya Semambu, Kampung Tengah Relau, Kampung Kilang Batu dan Kampung Padang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, pemantauan mendapati paras air Sungai Punti berada pada tahap bahaya, manakala Sungai Semambu berada pada tahap waspada.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bandar Baharu menjalankan pemantauan di kawasan berisiko banjir serta sungai utama bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas.