MELAKA – Sebanyak 94.96 peratus atau 9,417 daripada 9,917 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan memaklumkan kesemua pengundi awal berkenaan mengundi di 31 pusat mengundi awal di seluruh negeri.

“Proses pengundian bermula pada 8 pagi dan kesemua pusat mengundi ditutup secara berperingkat iaitu 19 pusat pada 12 tengah hari, tiga pusat (2 petang) dan sembilan pusat (5 petang),” menurut SPR.

SPR turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran pelaksanaan proses pengundian awal berkenaan termasuk Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia.