HULU SELANGOR – Usaha mengesan tiga lagi mangsa yang hilang susulan kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu kini tertumpu di kawasan jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dan keputusan untuk menghentikannya bergantung kepada keadaan cuaca serta nasihat pasukan bomba.

“Buat masa ini, operasi masih berjalan. Kita akan melihat keadaan cuaca kerana apabila semakin lewat malam, operasi mungkin berdepan kesukaran.

“Kita juga akan mendapatkan nasihat daripada pegawai bomba sebelum membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.