Kuala Lumpur: Lebih 500 rumah terjejas akibat banjir selepas hujan lebat melanda beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Selangor, terutama di Kampung Melayu Subang hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan berkata, mangsa yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.
"PPS ini akan beroperasi sepanjang tempoh yang diperlukan bagi memastikan penduduk terjejas mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini.
Beliau berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama sukarelawan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan, khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.








