KUALA LUMPUR: Orang ramai berada di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diminta tidak panik sekiranya melihat pergerakan anggota keselamatan, selain aset operasi atau aktiviti mencurigakan, Khamis ini.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan, pihaknya akan melaksanakan Latih Amal Keselamatan dikenali Exercise Eagle Stealth 2026 (EX EAGLE STEALTH) bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Malaysia Airports, bermula 9 pagi hingga jam 11.30 malam.
"Latihan bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi antara agensi serta keberkesanan mekanisme tindak balas negara dalam menangani ancaman keselamatan penerbangan awam.
"Operasi penerbangan akan beroperasi seperti biasa dan latihan ini tidak akan menjejaskan aktiviti serta urusan perkhidmatan penerbangan di KLIA," katanya dalam kenyataan hari ini.









