PASIR MAS - Rakyat tidak perlu melakukan pembelian panik atau menyimpan stok makanan secara berlebihan kerana bekalan beras dan barangan keperluan asas negara masih berada pada tahap stabil ketika ini meskipun negara bakal berdepan Monsun Timur Laut (MTL).Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan makanan negara termasuk beras masih mencukupi dan belum ada keperluan untuk rakyat bertindak seperti penduduk di sesetengah negara Eropah yang mula membuat persediaan menyimpan stok makanan.Menurut beliau, keadaan bekalan makanan negara ketika ini masih terkawal dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan keperluan rakyat terus terjamin."Setakat ini kita tidak perlu panik lagi. Begitu juga pembelian beras, menyimpan telur ayam, minyak dan sebagainya."Insya-ALLAH, kalau sampai peringkat itu kita akan beritahu, tetapi setakat ini kita masih berada dalam keadaan stabil," katanya.Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada Rabu ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar di sini.Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.Mohamad turut memberi jaminan bekalan beras negara mencukupi dan rakyat tidak perlu bimbang mengenai keperluan mendapatkan makanan asas berkenaan."Insya-ALLAH, cukup. Beras pun cukup," katanya.Jelas beliau, sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat pembelian secara berlebihan sehingga mencetuskan kebimbangan atau menjejaskan kestabilan bekalan di pasaran.Menurutnya, KPKM akan memaklumkan kepada rakyat sekiranya terdapat sebarang perubahan ketara terhadap situasi bekalan makanan negara yang memerlukan langkah persediaan tambahan.