Bukit Kayu Hitam: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita hampir 25 tan ayam sejuk beku bernilai RM562,290 selepas mendapati permit import dikemukakan pengimport sudah tamat tempoh.

Dagangan itu disita hasil pemeriksaan fizikal yang dijalankan pegawai AKPS Bukit Kayu Hitam di Bilik Sejuk Beli, Blok E1, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.

Pemeriksaan mendapati produk ayam sejuk beku kategori Chicken Thigh & Leg Boneless Frozen itu diimport dari Thailand.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati, pihak pengimport mengemukakan dokumen Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sudah tamat tempoh sah.