KLANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menyita lebih 27 tan daging kerbau sejuk beku dari India di Pelabuhan Klang di sini, semalam, kerana disyaki menggunakan sijil halal meragukan.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata daging dianggarkan bernilai RM413,728 dikesan selepas tiba dari India kelmarin.
"Hasil pemeriksaan dijalankan Pegawai Penguatkuasaan AKPS pada jam 10.40 pagi mendapati terdapat keraguan dokumen sijil halal dikemukakan dengan maklumat diisytiharkan pada permit import.
"Dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat tidak selaras dengan pengisytiharan. Kami kemudian menyita barangan dagangan komoditi haiwan membabitkan 27,984 kilogram (kg) daging kerbau," katanya dalam kenyataan hari ini.









