Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan khabar angin mengenai kemungkinan Indonesia menarik diri daripada menyertai temasya Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Indonesia berhubung perkara berkenaan dan menganggap isu itu sekadar cakap-cakap dalam kalangan netizen.

"Saya menghormati segala pandangan yang dilontarkan bukan sahaja oleh netizen tetapi daripada semua pihak. Namun, saya yakin tema yang kita pilih kali ini adalah 'Celebrating Unity' kerana kita mahu meraikan perpaduan.

"Ini adalah temasya kekeluargaan iaitu Keluarga ASEAN. Saya yakin dan percaya setiap negara mempunyai kebijaksanaan masing-masing untuk memastikan perpaduan dalam ASEAN terus dipertahankan dan diperkukuhkan.