KUALA LUMPUR: Pelaksanaan baki hukuman penjara di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memerlukan akta khusus kerana ia berasaskan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata tahanan rumah diperkenankan menerusi pengampunan diraja itu berbeza daripada hukuman alternatif yang boleh dijatuhkan mahkamah atau kemudahan parol di bawah Akta Penjara.
"Kekeliruan timbul apabila pelaksanaan tahanan rumah Najib disamakan dengan konsep tahanan rumah yang pernah dicadangkan sebagai salah satu bentuk hukuman alternatif dalam sistem keadilan jenayah.
"Orang ramai perlu faham, tahanan rumah Najib bukan hukuman alternatif yang dijatuhkan mahkamah. Ia adalah sebahagian daripada pengampunan.






