JOHOR BAHRU – Enam lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu berhubung kejadian membakar mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, yang tular di media sosial pada Ahad.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, tiga lelaki teempatan berusia 19 hingga 23 tahun ditahan dalam tangkapan susulan di sekitar Skudai, Johor, pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan meningkat kepada tujuh orang."Hasil semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi tiada rekod lampau."Ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek juga didapati negatif dadah," katanya dalam kenyataan.Beliau berkata, hasil siasatan, empat suspek akan didakwa mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan manakala dua lagi suspek akan didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987Jelasnya, seorang lagi suspek pula dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.Pada Isnin, polis menahan empat lelaki berusia antara 16 hingga 25 tahun dalam operasi di sekitar Skudai kira-kira jam 7.30 malam bagi membantu siasatan berhubung penularan video pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai.