Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028, berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Aslam Zainuddin mengetepikan perintah pelepasan terdahulu dan mengarahkan pendaftar mahkamah mengeluarkan waran baru bagi melaksanakan tahanan rumah selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Aslam membezakan pelepasan selepas pembayaran denda dengan pelaksanaan baki hukuman penjara. Di bawah pengampunan bersyarat yang diperkenankan pada 18 Sept, Najib perlu menjalani baki hukuman penjara enam tahun itu di rumah.

Mahkamah mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyemak perintah pelepasan bertarikh 6 Nov, yang dikeluarkan selepas denda RM50 juta dalam kes SRC International dilunaskan. Pembayaran itu memenuhi satu daripada syarat pengampunan.