KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, berasa sangat lega dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah dalam kediamannya di Langgak Duta, di sini, berkuat kuasa serta-merta.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika memaklumkan perkara itu berkata ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, kerana bekas Perdana Menteri terbabit sudah lama menunggu untuk mendapatkan perintah berkenaan.

"Ia adalah satu kelegaan besar buat beliau kerana sudah lama menunggu perkara ini," katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi.

Menjelaskan lanjut, Muhammad Shafee berkata, Najib perlu dibawa semula ke Penjara Kajang terlebih dahulu bagi membolehkan beberapa syarat berkaitan tahanan di rumah dibaca dan diterangkan kepada beliau.