Shah Alam: Dua belas tahun lalu, pemuda ini nekad berhijrah dari kampung halamannya di Tumpat, Kelantan ke ibu kota dengan berbekalkan wang RM100 pemberian ibunya dan beg galas mengandungi beberapa helai pakaian.

Ketika itu, Mohd Assraf Maidin Koty, 33, tiada tempat tinggal jadi terpaksa menebalkan muka bermalam di rumah rakan dan kenalannya.

Kini, kepayahan dilalui itu tinggal kenangan kerana Mohd Assraf sudah bergelar usahawan selain menawarkan perkhidmatan katering dan sewaan dewan untuk penganjuran majlis.

Mengimbas perjalanannya, Mohd Assraf berkata, tiada yang tahu kepayahan dilalui pada awalnya termasuk keluarga kerana dia tidak suka bercerita dan enggan menyusahkan sesiapa.