Pertikaian berhubung cadangan pemindahan bekas perdana menteri, Najib Razak dari Penjara Kajang ke tahanan rumah bukan lagi sekadar persoalan sama ada beliau patut pulang ke rumah.
Pada dasarnya, kontroversi ini menimbulkan persoalan lebih besar: apakah yang berlaku apabila pengampunan diraja, perintah mahkamah dan satu lagi hukuman jenayah bertembung dalam keadaan yang tidak dijelaskan dengan baik oleh undang-undang sedia ada?
Perkembangan terbaharu menunjukkan Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Penjara, barisan peguam Najib dan Istana Negara seolah-olah berada di pihak berbeza dalam perdebatan berhubung pelaksanaan berbanding prinsip. Semua pihak menyatakan mereka berusaha menegakkan undang-undang. Tetapi, percanggahan pendapat timbul berhubung apa yang sebenarnya dikehendaki undang-undang dan titah Yang di-Pertuan Agong dari segi pelaksanaannya.









