KUALA LUMPUR: Isteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, menzahirkan perasaan syukur atas kepulangan bekas Perdana Menteri itu ke kediaman mereka di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini, hari ini.

Beliau sekali gus mengesahkan Najib sudah selamat tiba di kediaman mereka itu untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengeluarkan perintah baharu untuk Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan, secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, hasil tinjauan mendapati suasana di luar kediaman berkenaan kelihatan tenang, dengan kawalan keselamatan yang teratur sebaik saja kenderaan yang membawa Najib tiba.