KUCHING: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) akan mengemukakan representasi kepada pihak polis bagi mendesak empat kes mangsa along di Sarawak yang dikategorikan sebagai Rujukan Lain Agensi (RLA) dibuka semula untuk siasatan.
Pengerusi MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata tindakan itu penting bagi memastikan mangsa tidak terus teraniaya, khususnya dalam kes membabitkan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, ugutan, gangguan dan pemerasan.
Beliau berkata, surat representasi akan dikemukakan menerusi panel peguam MHO di Sarawak kepada ketua polis daerah (OCPD) bagi meminta keputusan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai RLA dipertimbangkan semula.
Beliau berkata terdapat asas kukuh untuk membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana kegiatan along terbabit membabitkan pinjaman tanpa lesen, kadar faedah melebihi 18 peratus serta perbuatan mengganggu dan mengugut mangsa.









