PUTRAJAYA- Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Setiap keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan hendaklah dihormati dan dilaksanakan menurut undang- undang.
“Kelewatan pelaksanaan sebelum ini berlaku berikutan terdapat persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perundangan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026, khususnya mengenai pelaksanaan baki hukuman melalui tahanan rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.










