KUALA LUMPUR: Agrobank terus memainkan peranan dalam memberikan semula manfaat kepada masyarakat menerusi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya membantu komuniti luar bandar dan pedalaman mendapatkan akses kepada perkhidmatan kewangan, perlindungan serta pendidikan.
Institusi kewangan pembangunan itu mendekati komuniti Orang Asli di Kampung Peta, Endau, Johor menerusi program CSR yang memberi tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan kewangan, perlindungan takaful dan sokongan pendidikan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Kampung Peta yang menempatkan kira-kira 370 penduduk daripada 126 keluarga Orang Asli suku Jakun berdepan cabaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan kewangan formal berikutan kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar.










