KUALA LUMPUR: Mereka yang ingin menziarah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di kediamannya di Langgak Duta, di sini, dijangka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya masih belum mengetahui secara terperinci kaedah lawatan yang akan dilaksanakan, namun menjangkakan permohonan perlu dibuat.

"Pelawat tetap perlu mendapatkan kebenaran untuk menemuinya," katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Beliau berkata, pihak penjara berkemungkinan menyediakan sistem tertentu termasuk melalui pos keselamatan bagi menguruskan kehadiran pelawat ke kediaman berkenaan.