KUALA LUMPUR: Seramai 35 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima pengiktirafan pada tahun ini di atas ketegasan serta keberanian menolak dan melaporkan kegiatan rasuah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata daripada jumlah itu, enam menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara, 13 menerima Sijil Penghargaan dan Ganjaran Kewangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala 16 lagi menerima Sijil Penghargaan SPRM.

Beliau berkata, berdasarkan statistik SPRM, PDRM antara agensi kerajaan tertinggi menerima pengiktirafan berkenaan, iaitu membabitkan sebanyak 437 anggota dan pegawai bagi tempoh 2012 hingga 2025.

"Pencapaian ini membuktikan ketegasan warga pasukan dalam memerangi rasuah, satu pendirian yang wajar dicontohi oleh seluruh warga PDRM," katanya ketika berucap melancarkan Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM Tahun 2026 di sini hari ini.