SEREMBAN: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menyifatkan cadangan supaya kerajaan memberikan peluang kepada semua banduan untuk menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara dan bakinya menerusi tahanan di rumah, wajar dinilai serta dipertimbangkan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, berkata jika perkara itu diperuntukkan dalam undang-undang dan Perlembagaan, sewajarnya ia terpakai serta dilaksanakan secara sama rata.
"Maka, berdasarkan perundangan yang ada, seharusnya ia dinilai dan dilaksanakan, namun dalam perkara ini kita serahkan kepada pihak berautoriti ataupun mereka yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan perkara berkenaan dilaksanakan dengan baik," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Kerja Belia Kali Ke-3 2026, di sini, hari ini.









