PADANG BESAR: Kerajaan negeri bersiap sedia dengan pelan kecemasan termasuk menyediakan peruntukan khas membina telaga tiub bagi menghadapi ancaman fenomena kemarau berpanjangan awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Megat Hashirat Hassan, berkata cuaca kering melampau atau Super El Nino yang diramal berlaku antara Februari hingga Mei itu dikhuatiri menjejaskan bekalan air untuk sektor pertanian dan keterjaminan makanan di negeri ini.
Katanya, perkara berkenaan sudah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
"Walaupun cuaca panas dan kering memberikan kelebihan kepada pengeluaran bunga mempelam Harumanis, namun tanaman lain khususnya padi di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) amat memerlukan bekalan air mencukupi.









