Kota Bharu: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 10 individu dan merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku seludup keluaran negara jiran bernilai lebih RM300,000.
Tindakan itu hasil serbuan menerusi Op Salju Mega di tiga negeri Pantai Timur bermula kelmarin sehingga hari ini.
Operasi bersepadu di enam lokasi sekitar Kelantan, Terengganu, dan Pahang itu turut mengeluarkan kompaun keseluruhan bernilai RM7,500.
Ia dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).









