ISTANBUL: Iran menolak dakwaan Perancis bahawa negara itu terbabit dalam serangan siber di Perancis, sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Iran menafikan sebarang pembabitan dan mengecam pendekatan Perancis yang disifatkan sebagai menuduh Tehran tanpa asas.
Kementerian itu berkata, Iran akan mengambil langkah yang dianggap perlu bagi melindungi kepentingan dan keselamatan negara daripada tindakan asing yang "menyalahi undang-undang".
Respons itu menyusul selepas Perancis mendakwa Iran melancarkan serangan siber yang menyasarkan pengawal sistem penyejukan di lebih 700 premis peruncitan pada malam 11 hingga 12 Oktober lalu.








