KUALA LUMPUR: Kitaran pelaburan negara dan lebihan luaran dijangka memberi ruang kepada ringgit untuk mengukuh pada tahun depan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed, berkata kesinambungan dasar kerajaan mampu mengekalkan keyakinan pelabur meskipun aliran modal di rantau ini tidak menentu.

"Pelaburan dalam sektor semikonduktor, perkembangan pusat data dan permintaan domestik yang berdaya tahan menjadi asas kepada prospek ini. Julat dagangan asas yang saya jangkakan bagi 2027 ialah antara RM3.90 hingga RM4.11," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, kelemahan dolar AS dan penurunan hasil bon Amerika Syarikat (AS) berpotensi membawa ringgit ke paras RM3.90 berbanding dolar AS.