KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Datuk Zaiton Mohd Hassan sebagai Presiden Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) wajar dijadikan inspirasi dan pembakar semangat kepada lebih ramai anak Malaysia untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

Menzahirkan ucapan tahniah menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pelantikan menerajui badan profesional perakaunan bertaraf global itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, pengalaman luas dan sumbangan Zaiton dalam bidang kewangan serta profesion perakaunan.

Beliau berkata, ini termasuk usaha memperluas akses dan peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang berkenaan.

"Kepimpinan beliau juga diharap dapat terus memperkukuh standard profesionalisme, memperluas peluang pembangunan bakat serta mempersiapkan profesion perakaunan menghadapi landskap ekonomi dan teknologi yang semakin berkembang," katanya.