KUALA LUMPUR - Senat Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pencalonan Joshua Harris sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS yang baharu ke Malaysia.Menurut laman web Kongres AS, pencalonan Harris disahkan oleh Senat menerusi undian suara pada 30 September 2026.Harris yang berasal dari Maryland merupakan pegawai diplomatik kerjaya dalam Perkhidmatan Luar Kanan AS dengan pangkat Minister-Counselor. Pencalonan beliau dikemukakan oleh Presiden Donald Trump pada 21 Julai 2026 sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.Jawatankuasa itu mengadakan sesi pendengaran pada 16 September sebelum Senat, dengan persetujuan sebulat suara, mengambil alih pertimbangan pencalonan berkenaan pada 30 September dan mengesahkannya pada hari yang sama. Pengesahan itu menandakan selesainya proses pertimbangan Senat terhadap pencalonan Harris untuk mewakili AS di Malaysia.Harris pernah berkhidmat sebagai Timbalan Penolong Setiausaha Negara di Biro Hal Ehwal Asia Barat dari 18 Julai 2022 hingga 5 Ogos 2025, dengan tanggungjawab menyelia hubungan AS dengan Algeria, Mesir, Libya, Maghribi dan Tunisia.Jawatan Duta Besar AS di Kuala Lumpur kosong sejak Februari susulan pemergian Edgard D Kagan yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Duta Besar AS ke-22 ke Malaysia.Kagan, seorang diplomat kerjaya, mempersembahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Mac 2024 selepas pencalonannya disahkan oleh Senat pada November 2023.Maklumat lanjut mengenai pencalonan Harris dan pengesahannya oleh Senat AS pada 30 September 2026 boleh didapati di laman web Kongres AS di https://www.congress.gov/nomination/119th-congress/1201/4. - Bernama