KUCHING: Sarawak mengesahkan dijangka menerima sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$50 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membabitkan sektor kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data pintar di negeri itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata perancangan pelaburan berkenaan sememangnya sudah ada dalam rangka pembangunan negeri, khususnya membabitkan industri pusat data pintar.

Beliau bagaimanapun berkata, identiti syarikat antarabangsa yang terbabit belum boleh didedahkan pada masa ini berikutan pelabur berkenaan adalah antara syarikat terkemuka di peringkat global.

"Memang ada. Kita sudah tidak dapat menyebut pelabur dulu kerana ia syarikat antarabangsa terkemuka. Kita khuatir sahamnya terjejas, jadi saya tidak dapat menyebut nama," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Forum Urbanisasi Sarawak (SUF) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, hari ini.