MELAKA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Melaka melupuskan barang kes dadah bernilai RM18.53 juta membabitkan 1,963 kertas siasatan bagi tempoh 2007 hingga tahun ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata dadah jenis syabu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 357 kilogram (kg) bernilai RM16 juta.
"Pelupusan kali pertama bagi tahun ini turut melibatkan pelbagai jenis dadah lain dan bahan larangan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah barang kes yang dilupuskan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah 382,713.56 gram dadah pelbagai jenis dan 172.35 mililiter bahan larangan.








