KUALA LUMPUR: Jaguh Muay Thai Russia, Rustam Yunusov melancarkan perang psikologi terhadap Johan 'Jojo' Ghazali apabila menyindir petarung muda negara itu lebih sesuai beraksi dalam filem berbanding gelanggang pertarungan.
Sindiran itu dilontarkan Yunusov dalam satu temu bual bersama ONE baru-baru ini.
"Apa yang boleh saya katakan mengenai Johan? Saya tidak boleh berkata apa-apa kerana saya tidak mahu berlawan dengan pelakon. Saya berlawan dengan petarung. Johan sepatutnya berlakon dalam filem Malaysia," kata Yunusov.
Namun, sindiran itu tidak sedikit pun menggugat keyakinan Johan yang membalas dengan nada bersahaja, malah menganggap kenyataan Yunusov sebagai satu pujian.








