Kuala Lumpur: Tindakan premis pemprosesan ayam di Pudu yang didakwa merendam ratusan ayam mentah yang terdedah dalam tangki sehingga mengundang kehadiran tikus, mencetuskan kebimbangan dan kemarahan orang ramai selepas kejadian tular di media sosial.

Ia didedahkan menerusi hantaran pengguna Threads, @shahajiq901, yang memuat naik rakaman siaran langsung memaparkan haiwan perosak itu sedang 'meratah' ayam mentah dalam tong berisi air di premis berkenaan.

Perbuatan premis terbabit mengundang perhatian ramai yang meluahkan rasa jijik dan bimbang terhadap risiko pencemaran serta tahap kebersihan ayam dijual di kedai itu.

Menerusi perkongsian video itu, pempengaruh, Zarif Syarafuddin membuat tinjauan ke premis menerusi siaran langsung di TikTok.