PETALING JAYA – Tindakan sebuah kedai menjual ayam mentah yang didakwa direndam di dalam tong tangki hitam bersama tikus mengundang rasa jijik dan kebimbangan orang ramai terhadap tahap kebersihan premis berkenaan.
Perkara itu tular selepas seorang pengguna Threads @shahajiq901 berkongsi rakaman siaran langsung memaparkan beberapa ekor tikus sedang meratah ayam mentah di dalam tong air yang berisi lebih ratusan ayam mentah di sebuah premis perniagaan di kawasan Pudu, Kuala Lumpur.
Menerusi perkongsian itu, pengguna berkenaan meluahkan kebimbangan mengenai kemungkinan ayam yang tercemar dengan haiwan perosak tersebut telah dibeli dan dimakan pelanggan sebelum ini.
Malah, situasi lebih mengejutkan apabila pempengaruh media sosial, Zarif Syarafuddin menerusi siaran langsung di TikTok malam tadi turut mendedahkan keadaan kedai runcit berkenaan yang didakwa menjual ayam mentah dalam keadaan kotor.









