KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia gagal melepasi pusingan kelayakan Masters Kumamoto di Jepun selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Minoru Koga, hari ini.
Pada aksi di Gimnasium Wilayah Kumamoto itu, Zii Jia yang berada di ranking ke-40 dunia tewas straight set 15-21, 10-21 kepada Koga yang menghuni ranking ke-48 dunia dalam tempoh 32 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Zii Jia gagal meneruskan kemaraan ke undian utama kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan, sekali gus menyaksikan usahanya untuk mengumpul mata ranking bagi menembusi kelompok 32 terbaik dunia terencat.
Koga pula berjaya membalas dendam terhadap Zii Jia selepas tewas kepada pemain negara itu pada pusingan kelayakan Terbuka Switzerland, Mac lalu.








