MELAKA: Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan hala tuju politik gabungan itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk kemungkinan membuka ruang kerjasama baharu dengan parti lain.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, berkata sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik perlu dibincangkan secara menyeluruh dalam Majlis Presiden PH sebelum boleh dianggap sebagai pendirian rasmi gabungan berkenaan.
"Untuk masa sekarang kita fokus kepada tamatkan kempen kita sehingga hari mengundi. Kita dah nampak beberapa perkembangan terkini politik yang ada hari ini di mana jajaran baru sedang berlaku, itu kita tidak nafikan.
"Saya ambil ini sebagai salah satu dinamik yang perlu kita perhatikan... dan di peringkat Pakatan Harapan khususnya, keputusan-keputusan sebegini akan dibincangkan dalam Majlis Presiden dengan tuntas sehingga kita boleh mungkin datangkan dengan satu ketetapan yang boleh dijadikan sebagai arah tuju pada Pakatan Harapan itu sendiri," katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH, di sini hari ini.









