BATU PAHAT: Seorang duda yang baru dibebaskan atas kesalahan dadah berdepan hukuman mati selepas sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng, dekat sini hari ini atas tuduhan mengedar heroin dan memiliki methamphetamine.
Penganggur, Rahaimi Misnon, 48, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno, namun tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar dadah berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak itu didakwa mengedar heroin seberat 115 gram (g) di tepi rumah di Jalan Sungai Nibong, Semerah, di sini, jam 3 petang, 3 November lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.








