KUALA LUMPUR: Pengguna berhak mengetahui asal usul ayam dan daging yang dibeli di mana-mana premis, termasuk negara asal, syarikat pembekal, pengimport serta rumah penyembelihan bagi memastikan ketelusan rantaian bekalan makanan halal di negara ini.

Ia bukan bertujuan mempertikaikan sistem pensijilan halal sedia ada, sebaliknya melengkapkan pengesahan halal dengan maklumat yang membolehkan pengguna menyemak sumber makanan sebelum membuat pembelian.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pengguna tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada dakwaan penjual tanpa mempunyai akses kepada maklumat berkaitan sumber bekalan.

Beliau berkata, logo halal pada produk adalah pengesahan penting, namun ketelusan perlu merangkumi keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada rumah penyembelihan, pemprosesan, pengimportan, penyimpanan dan pengedaran sehingga produk sampai kepada pengguna.