KUALA LUMPUR: Harga barangan dan perkhidmatan yang dipaparkan atau diiklankan mesti merangkumi semua cukai, duti serta caj lain yang hendak dikenakan, bukan hanya dimaklumkan kepada pengguna pada peringkat akhir transaksi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kewajipan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 10B(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, amalan mengenakan caj tambahan atau tersembunyi sehingga harga sebenar melebihi harga dipaparkan bukan sahaja mengelirukan malah menjejaskan hak pengguna untuk mengetahui harga sebenar dan membuat keputusan pembelian secara telus serta bermaklumat.

“Ini bermakna pengguna hendaklah dapat melihat harga yang perlu dibayar dan bukan hanya mengetahui kewujudan caj-caj tertentu di peringkat akhir transaksi,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.