KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pengurusan dan Pengendalian Gelandangan di Wilayah Persekutuan sudah diadakan pada September lalu bagi membincangkan hala tuju serta memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi menangani isu gelandangan yang semakin memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada hala tuju pengurusan dan pengendalian isu gelandangan yang selari dengan keperluan Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur.
Beliau berkata, komitmen kementerian adalah memastikan usaha perlindungan, kebajikan dan penyelarasan antara agensi terus diperkukuh demi membina bandar yang lebih prihatin serta inklusif.








